Jumlah Paparan Halaman

Khamis, 5 September 2013

Kenaikan harga minyak dan kesan nya kepada kehidupan masa kini.

Innalillahi wa Innalillahi roji'un..

Masya Allah apa sudah jadi pada ana? Hahaha mungkin rasa pelik kan tatkala aku memulakan entry dengan ucapan kalimah Innalillahi wa Innalillahi roji'un. Ye lah mana tak nya, negara yang aku duduki dengan izin Allah ini sudah pun mengalami kenaikan harga minyak secara mengejut pada 3 malam yang lalu iaitu pada tanggal 3/9/2013. Harga minyak yang dinaikkan ialah minyak petrol RON95 dan diesel masing masing sebanyak 20 sen. Harga asal minyak RON95 ialah RM1.90 dengan subsidi sebanyak 83 sen per liter. Jadi bila bertambah kenaikan minyak sebanyak 20 sen per liter maka ini jumlah harga minyak RON95 ialah RM2.10 per liter dengan pengurangan subsidi kepada 63 sen.
petrol oh petrol...


 Manakala malam semalam pula minyak RON97 dinaikkan kepada RM2.85 daripada harga asal sebanyak RM2.70 iaitu kenaikan sebanyak 15 sen per liter. Boleh baca Sinar Harian untuk maklumat lanjut. Maaf aku bukan benci paper lain akan tetapi paper lain seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, Kosmo dan Harian Metro kesemuanya menyiarkan laporan berbaur membodek dan memuji tindakan kerajaan atas alasan untuk menyelamatkan ekonomi negara. Ya memang betul kita nak selamatkan ekonomi negara tapi adakah itu cukup? Sama sekali tidak.

Terpaksa berasak asak sebelum harga baru dikuat kuasakan..sampai bila kita harus berhadapan situasi sebegini?
Kenapa aku katakan tidak? Dengan mengurangkan subsidi sahaja tak banyak membantu memacu ekonomi negara. Ya aku bukan lah pakar ekonomi yang mempunyai ijazah sarjana (Bachelor atau Master) hatta doktor falsafah (PHD) tetapi sebagai rakyat yang sering kali terlibat dalam urusan jual beli sama ada sebagai pembeli mahupun peniaga sambilan (kerana aku kerja makan gaji itu yang hakiki),aku faham peranan dan kesan yang dimainkan oleh bahan petroleum ini. Hampir kesemua urusan perniagaan,perkhidmatan dan lain lain akan melibatkan penggunaan petroleum. Ya kita tidak minum petroleum di kedai makan atau beli petroleum sebagai minuman harian tetapi kerana naik turun harga petroleum lah yang menentukan harga makan minum yang selalu anda beli di kedai kedai makan,harga barangan keperluan yang anda sentiasa beli pasar basah,supermarket atau mall, harga kos pengangkutan sesuatu barang, harga tambang public transport yang anda gunakan, harga cukai premium kereta, harga servis dan maintainance kereta, harga rumah, dan pelbagai lagi...jadi kepada yang berfikiran ' Alah naik sikit jer...20 sen jer tu pun nak kecoh' maka orang seperti ini layak untuk berada di negara negara yang mempunyai harga petroleum yang lebih tinggi di dunia ini. Mungkin mereka ini anak orang kaya yang sangat kaya hinggakan duit yang ada itu boleh dijadikan tisu tandas di rumah mereka.
Sedar atau tak ini lah rupa kehidupan kita jika tak bersandarkan kepada Islam. Islam tak larang kita menjadi kaya tetapi setelah dapat kekayaan itu hendaklah dikongsi dan diberi kepada golongan bawahan. Jika berlegar disekeliling golongan kaya sahaja maka porak peranda lah ekonomi sesebuah negara itu.
Aku faham kenaikan harga minyak ini mencetuskan apa yang dinamakan sebagai 'Chain Effect' atau istilah yang lain pula menyebut sebagai ' Domino effects'. Sesuatu yang kita sebenarnya takut untuk gambarkan jika effect atau kesan tersebut bersifat negatif. Seperti yang sebutkan di atas kenaikan nya hanyalah sedikit tapi mencetuskan pertambahan kos yang lain. Dalam dunia ini semua orang mahu untungkan,jadi siapa lah nak berniaga dengan harga rugi? Maka bila nak kejar untung dan kos asasi seperti minyak, elektrik dan air meningkat sudah tentu memberi kesan terhadap kenaikan kos barang yang dijual atau servis yang diberi.
domino effect bergantung kepada banyak keadaan dan punca terjadinya kesan itu.

Terus terang aku cakap,aku walaupun terkesan tapi tidak lah terasa sangat akan tetapi bagaimana pula nasib warga Malaysia yang berpendapatan rendah? Kesian bila melihat kehidupan mereka sebelum ini sudah lah ikat perut dan sekarang ini mereka lagi la terpaksa kuatkan ikat perut.

Kenapa perlu ada jurang antara orang miskin dan kaya. Sudah kamu lupa apa yang Allah dan Rasulullah beritahu? Dirikan lah solat dan tunaikan lah zakat. Ya zakat itu membawa berkat,zakat itu mengeratkan silaturrahim dan zakat itu menambahkan lagi kekayaan. Namun berapa ramai yang sudah lupa tatkala Allah beri mereka secebis kenikmatan kemewahan itu di dunia yang sementara ini.
Kerajaan memerintah sepatutnya harus memikirkan bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan negara dengan cara yang betul,tidak membazir dan tidak boros. Projek yang tiada kepentingan umum hendaklah dihapuskan sama sekali. Pembelian aset hendaklah dibuat secara open tender dan direct purchase tanpa ada golongan orang tengah (middleman). Paling penting dalam menguruskan ekonomi negara jangan lah adanya unsur kronisme,nepotisme,rasuah dan salah guna kuasa samada seleweng mahupun pecah amanah.
Lihat apa yang diulaskan oleh Ustaz Muhammad Asri bekas mufti Perlis.

Percaya atau tak..lihat lah sendiri. Hutang negara Malaysia sudah melebihi 55% yang dibenarkan oleh pihak Kementerian Kewangan berbanding KDNK negara. Jadi aku percaya antara sebab kenapa kenaikan ini disegerakan ialah untuk tutup semua hutang ini. Tapi mengurangkan subsidi tak cukup jika kerajaan kekal boros dalam berbelanja.
Paling tak sangka apabila Tun Dr. Mahathir sendiri juga mahu kerajaan yang memerintah sekarang mengamalkan dasar belanjawan jimat cermat. Walhal di zaman beliau lah banyak berlaku ketirisan kewangan.

Ini salah satu 'Domino effect' atau kesan rantaian hasil kenaikan harga minyak 3 hari yang lepas.

Cadangan oleh Ustaz Zaharuddin dan ia senada dengan apa yang diutarakan oleh pihak opposition Pakatan Rakyat dan terkini Tun Dr Mahathir sendiri.

Boleh juga click link di bawah berita dari Singapura tentang susutnya nilai Ringgit Malaysia. Harap sila buka minda anda dan jangan ada rasa sangsi.

 Bagi kita sebagai rakyat pula sudah tentu kita pun mahu atau tidak terpaksa kekal hidup berjimat cermat. Sebenarnya tak kira siapa yang memerintah pun, hidup kita memang disarankan untuk berjimat cermat dalam semua hal kehidupan. Ini sudah diberitahu oleh Rasulullah s.a.w sendiri dan bahkan Imam As Syafiee juga ada meriwayatkan akan hal ini.

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat berhati-hati dan cermat dalam kehidupannya. Dalam perbelanjaan hidupnya, Baginda memperlihatkan bahawa sekalipun Baginda menguasai sebuah kerajaan Islam yang mampu untuknya berada dalam kemewahan, namun yang ternyata Baginda bukanlah orangnya yang mementingkan keduniaan ini. Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa berjimat cermat khususnya dalam perbelanjaan sehari-sehari. 
Sumber kekayaan yang dimiliki hendaklah dipergunakan untuk kepentingan bersama membantu golongan yang memerlukannya, bukannya untuk dihabis dan dibelanjakan begitu saja. Agama Islam menentang tabiat dan perbuatan membazir. Menurut al-Quran, orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Oleh hal yang demikian, seseorang Islam hendaklah menggunakan hartanya dengan cara yang sebaik-baiknya, kerana perbelanjaan yang dilakukan pada perkara yang tidak disukai oleh Islam amat besar padahnya di Hari Akhirat nanti. Berkenaan hal ini, Rasulullah s.a.w. ada bersabda: 
Maksudnya: “ Tidak berganjak kedua-dua kaki seseorang dari tempat berdirinya di Mahkamah Tuhan pada hari Qiamat sehingga dia disoal tentang umurnya pada perkara apakah dia habiskan, tentang ilmunya untuk apakah dia gunakan, tentang harta bendanya dari manakah dia dapati dan ke mana dibelanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah dia susutkan kemudian dan kecergasannya”. 
                                                                                                                                          (Al-Tirmizi) 
Contohnya pada kehidupan Rasulullah s.a.w. sendiri jelas memperlihatkan betapa dirinya tidak dikuasai oleh nafsu dan pengaruh harta benda keduniaan. Baginda memakai pakaian yang sekadarnya untuk melindungi badan dari bahaya panas dan sejuk, memakan makanan sekadar untuk hidup malah kadang-kadang Baginda tidak makan apa-apa. 
Rasulullah s.a.w. tidak suka kepada orang-orang yang hidup hanya untuk menjamu seleranya saja iaitu tidak ada yang difikirkan selain dari kepentingan perut sendiri. Sifat seumpama ini bukanlah sifat yang layak bagi seseorang muslim. Oleh  yang demikian, Baginda selalu mengingatkan sahabat-sahabatnya supaya suka memberi makan kepada orang lain yang dalam kesusahan dan kelaparan. Baginda pernah menyuruh sesiapa yang ada makanan untuk dua orang hendaklah dimakan bertiga dan sesiapa yang ada makanan untuk empat orang hendaklah dimakan berlima. Dalam hubungan ini Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. pulang ke rumahnya bersama tiga orang dan Rasulullah s.a.w. pulang dengan sepuluh orang. 
Dalam 10 wasiat imam syafie sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir pun ada menyatakan tentang soal berjimat cermat walaupun beliau tidak menyentuh secara detail. Boleh click di sini untuk bacaan lanjut.

Aku rasa cukup sampai sini sahaja catitan ini. Rasa tak tergamak mahu menaip dengan panjang lebar kerana rasa berat di dada mengenangkan peristiwa yang sebenarnya dapat dijangka akan berlaku pada tahun akan datang namun tak disangka ia berlaku secara mengejut.

Sekian, wasalam....

Tiada ulasan: