Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Nampak tajuk tu kan.
Well kali ini aku nak serius sikit.
Namun sebelum tu apa kata kita tengok dulu sejenak koleksi gambar gambar bencana banjir besar yang berlaku di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak serta Johor. Mungkin ada antara gambar ini anda semua sudah tengok namun harap tengok dengan nilai pengajaran.
situasi banjir di kawasan perumahan Gong Badak, Kuala Terengganu. |
Banjir di bandar Chukai, Kemaman. |
Banjir di depan UMT di Tok Jembal, Gong Badak, Kuala Terengganu. |
Salah satu jalan di Kuala Nerus, Kuala Terengganu terputus. |
Banjir di Kuala Krai. Masya Allah. |
Myvi dihanyutkan arus deras banjir. Nauzubillahi min dzalik. |
Salah sebuah rumah ranap dek banjir. Lokasi di Kelantan. |
Pelajar pelajar Universiti Malaysia Kelantan meredah banjir untuk ke tempat lebih selamat. |
Para pelajar perempuan UMK pun turut terjejas. |
Stadium Sultan Mohammad IV di tengah bandar Kota Bharu juga tak terlepas dari bencana ini. |
Pemandangan dari udara banjir di Sekolah Menengah Manik Urai, Kuala Krai. |
Salah sebuah wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu pun terkena banjir. |
Kesan banjir di Manek Urai, Kuala Krai Kelantan. |
Limpahan Sungai Pahang dek kerana hujan lebat luar biasa dan faktor penggondolan hutan menyebabkan berlaku banjir luar biasa di daerah Temerloh. Selain Temerloh, daerah daerah yang terletak dalam jajaran Sungai Pahang seperti Jerantut, Bera, Maran dan Pekan menerima bahana banjir kali ini. |
Tak pernah LPT Karak-Jabor di Temerloh dinaiki air sebelum ini. Namun pada banjir besar 2014 ini lah yang telah berlaku. |
Sebenarnya lebih banyak lagi gambar gambar yang anda semua boleh lihat menerusi Google.com dan juga rakaman video klip di Youtube.com. Tak larat aku nak share lagi..
Okay lah jom kita teliti apa sebab kali ini banjir besar berlaku agak dahsyat.
1) Hujan Lebat:
Hujan lebat luar biasa dengan kadar purata 300mm sehari dan berlanjutan hingga lebih seminggu. Kita kena ingat hujan lebat luar biasa ini tidak berlaku secara terus di kawasan yang terlibat dengan banjir akan tetapi ia berlaku di kawasan pedalaman hutan tebal. Kemudian baru lah beralih ke kawasan hilir dan pantai.
2) Tadahan Hujan:
Jika hujan ini berlaku di kawasan pedalaman terlebih dahulu ini bermakna dan sepatutnya air hujan dapat diserap oleh tanah tanah dan seterusnya ke akar akar pokok pokok yang tumbuh melata di kawasan hutan tebal. Namun apa yang berlaku ialah kebanyakkan air hujan ini tidak diserap. Sebaliknya terus memasuki saliran anak anak sungai dan menjadikan anak anak sungai ini sebagai sungai yang amat besar. Ini mencetuskan limpahan air sungai di luar jangkaan apabila memasuki kawasan hilir.
3) Faktor Air Pasang Besar:
Ia berlaku di kawasan kuala dan muara sahaja namun turut memberi impak besar kepada para penduduk yang menetap di kawasan tersebut. Air sungai dari arah hulu yang mengalir ke arah kuala tidak dapat bergerak ke kawasan laut kerana bertembung dengan air pasang laut. Namun jika tiada hujan lebat di kawasan ini peluang kawasan yang mengalami banjir besar agak kurang. Apa yang berlaku baru baru ini ialah hujan lebat berterusan di kawasan hulu, aliran air dari hulu berterusan ke kuala, air laut pasang besar dan hujan lebat di kawasan muara atau kuala.
4) Penggondolan kawasan tadahan hujan:
Sebenarnya aku dah terangkan sedikit di nombor 2 tu. Cuma nak tekankan di sini ialah pembangunan di kawasan tadahan hujan tanpa terkawal dan terancang menjadi faktor utama kejadian bah besar. Penggondolan atas nama pembangunan tidak kira sama ada penebangan pokok hutan untuk tujuan pembalakan, pembersihan tanah, pembangunan tanah untuk hartanah atau pertanian dan apa jua tujuannya mesti lah mempunyai perancangan yang konkrit dan mengambil kira aspek risiko kesan bencana alam selepas pembangunan.
5) Sistem perparitan dan saliran:
Permasalahan sistem longkang dan parit terutama di kawasan perumahan dan bangunan menyumbang kepada berlakunya musibah ini. Apa yang sering berlaku di Kuala Lumpur iaitu banjir kilat dek kerana masalah parit dan longkang tersumbat jarang sekali diambil sebagai pengajaran. Di negeri negeri Pantai timur Semenanjung kini sedang mengalami pembangunan infrastruktur kediaman berpusat yang rancak. Lihat lah setiap daerah baik di Kelantan, Terengganu dan Pahang mesti ada kawasan projek pembangunan perumahan sama ada dimiliki oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Namun apa yang dikesalkan ialah kegagalan pihak pemaju termasuk juga pemantauan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah parit dan longkang. Ada sebahagian kawasan perumahan ini memiliki longkang atau parit yang sangat cetek. Selain itu faktor penduduk perumahan yang gemar membuang sampah sampah kecil ke dalam longkang atau parit juga memainkan peranan berlakunya banjir di kawasan perumahan. Selain itu terdapat juga parit atau longkang besar yang tidak diselenggara dengan baik hingga membiak begitu banyak rumpair dan lumut serta lumpur pasir yang menghadkan kelancaran pengairan.
6) Dasar Sungai:
Dilaporkan bahawa Sungai Pahang kini mengalami masalah kecetekan sungai. Ini berlaku mungkin sebab kerana banyak tanah di kawasan hutan yang ditebang masuk ke dalam sungai. Ditambah dengan elemen hujan lebat luar biasa yang membawa kuantiti pasir atau tanah yang banyak ke dalam dasar sungai. Seterusnya mencetuskan limpahan air sungai yang tak dijangka. Bukan setakat Sungai Pahang sahaja bahkan sungai sungai yang ada di seluruh Malaysia ini menghadapi masalah yang sama.
Setelah aku senaraikan semua faktor ini berasaskan pendapat dan pemerhatian aku dapati punca sebenarnya ialah kita sendiri. MANUSIA. Ya itu lah punca sebenarnya. MANUSIA dan hawa nafsu memang tidak dapat dipisahkan. Yang jadi masalahnya ialah bagaimana manusia itu mampu mengawal hawa nafsu mereka. Kenapa aku katakan nafsu? Jangan lah korang ingat bila sebut nafsu mesti nafsu seks. Ya seks tu pun nafsu jugak namun perkara perkara lain seperti inginkan kebendaan, makan,minum, nak berlawa, nak duit banyak, nak bermewah itu semua juga merujuk kepada nafsu. Dalam konteks banjir besar kali ini, aku rasa manusia yang diamanahkan untuk menguruskan alam semula jadi ini gagal melaksanakan tanggungjawabnya apabila hanya memikirkan soal untung rugi perniagaan dan prospek mereka. Mereka yang mengambil mudah soal kebersihan alam sekitar dan penjagaan alam sekitar juga termasuk ke dalam golongan yang mementingkan nafsu sahaja. Nampak amat mudah membuang sampah ke dalam longkang, parit dan sungai dengan beranggapan nanti sampah itu akan mengalir ke tempat lain dan akan ada pihak yang mengutip sampah itu. Namun kita tidak tahu sama ada sampah itu benar benar dikutip atau tidak. Kita juga tidak tahu setiap batang pokok balak yang ditebang itu telah berapa lama berjasa dengan menyerap air hujan lebat serta pokok pokok itu juga lah dengan izin dan kuasa Allah membekalkan kita gas oksigen dan disedutnya pula karbon dioksida yang kita hembus setiap hari tanpa kita sedari. Sedarkah kita tatkala kita membiarkan golongan yang rakus membalak tanpa kawalan, ia telah pun memusnahkan habitat dan sumber makanan haiwan haiwan liar. Seterusnya apabila haiwan haiwan liar ini pupus maka terganggulah akan rantaian ekosistem dan rantaian makanan dalam sesebuah ekosistem. Kita juga merupakan sebahagian ekosistem yang Allah ciptakan begitu cantik ini. Namun kebanyakkan kita hanya tertarik akan nilai wang ringgit, akaun bank, rumah besar, kereta mewah, hotel hotel, infrastruktur yang hebat dan pelbagai lagi fatamorgana yang dimomokkan kepada kita. Tidak salah nak semua itu cuma kita hendaklah berwaspada dan sentiasa beringat apabila buat satu perkara itu mesti ada batas yang Allah telah tetapkan.
Oleh itu aku berharap kita semua sebagai khalifah yang dilantik oleh Allah s.w.t di muka bumi ini hendaklah menjalankan peranan masing masing dengan baik. Alam semula jadi ciptaan Allah ini bukan lah sekadar tayangan sahaja. Ia ada juga kegunaan dalam kehidupan kita dan apabila kita menggunakannya hendaklah ia digunakan secara cermat dan berhemah. Jika masih lagi tidak mengerti, apa salahnya memperuntukkan masa untuk menyertai kumpulan kumpulan NGO yang memperjuangkan isu habitat haiwan liar, alam semula jadi, hutan dan kemasyarakatan. Mereka ini lah sebenarnya pejuang pejuang yang sering dipandang enteng dan pendapat mereka dianggap remeh oleh pihak lain namun apabila berlaku hal hal tertentu apa yang mereka (NGO) utarakan dulu diambil pula oleh pihak terbabit dengan tujuan untuk menutup kesalahan mereka dan meletakkannya pula kepada pihak lain. Moga kisah banjir besar 2014 ini menjadi pengajaran berguna untuk kita semua supaya kita lebih prihatin dan cakna akan isu penjagaan alam sekitar dan juga sustainable forest development.
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan