Assalamualaikum sekalian,
Alhamdulillah dengan izin Nya sekali lagi aku berkesempatan untuk menaip entry dalam blog aku ini. Kali ini, aku nak kongsi pasal kisah sejarah yang mana ia merupakan sejarah negara kita Malaysia dan juga sejarah perkembangan dan kegemilangan era zaman Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dulu.
Aku percaya korang semua yang baca blog ini mesti pernah belajar sejarah semasa di sekolah menengah dulu kan? Dalam buku teks sejarah, bila baca kisah zaman awal penubuhan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dan zaman keemasan empayar tersebut mesti kita akan terbaca juga kisah Jalan Penarikan.
Apakah itu Jalan Penarikan?
Jalan Penarikan ialah merupakan satu laluan yang popular di kalangan para pedagang, pengembara, pengutus berita dan sesiapa sahaja yang mahu ke sebelah Pantai Timur Semenanjung dari Melaka dan / atau kawasan Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu tanpa melalui kawasan Selat Tebrau dan Laut China Selatan serta gugusan kepulauan kecil di sepanjang kawasan Selatan Semenanjung Tanah Melayu. Ia popular berkurun lamanya. Tiada laporan sejarah terperinci yang menunjukkan sejak bila laluan ini mula menjadi terkenal namun menurut sejarah lama ia sudah digunakan sejak zaman Kerajaan Langkasuka (Kerajaan kuno Melayu yang beragama Hindu) kira kira dalam abad ke-2 Masihi lebih kurang 1900 tahun lampau (betulkan aku jika silap). Jadi ini bermakna Jalan Penarikan ini sebenarnya sudah digunakan hampir 2000 tahun lampau.
Laluan ini dinamakan Jalan Penarikan kerana menurut cerita mulut ke mulut penduduk tempatan dan kemudian kajian sejarah juga mendapati ada satu kawasan di antara kawasan Sungai Jempol dan Sungai Serting yang dipisahkan oleh kawasan daratan sejauh lebih kurang hampir setengah batu atau ikut ukuran metrik sekarang ialah hampir 600 meter. Laluan ini lah dijadikan sebagai tempat untuk menarik pelbagai jenis sampan, bot, jong, perahu, kapal dagang layar yang ingin cepat sampai ke destinasi di sebelah Pantai Timur dari Pantai Barat Semenanjung tanpa melalui laluan laut yang penuh dengan pelbagai macam masalah khususnya cuaca dan masalah gangguan lanun yang banyak bertumpu di sebelah selatan Semenanjung. Menurut satu catatan seorang pengembara Portugis pada tahun 1613 yang menggunakan Jalan Penarikan tersebut. Ia mengambil masa selama lebih kurang 6 hari untuk sampai ke Sungai Pahang dari Sungai Muar.
Di mana kah bermula laluan Jalan Penarikan ini?
Secara ringkas, dengan berpandukan peta Google Maps Jalan Penarikan di atas yang telah pun dilabelkan. Aku zoom in setiap laluan tersebut supaya korang semua faham dan dapat sesuaikan kawasan yang mana merupakan tempat yang korang pernah pergi atau mungkin juga kampung korang atau tempat korang bekerja tetapi korang tidak tahu bahawa itu lah pada zaman dulu kala ia merupakan tempat laluan paling sibuk di DUNIA. Bahkan terkenal ke peringkat antarabangsa pada kurun kurun tersebut.
Lokasi Jalan Penarikan tersebut kini sudah menjadi kawasan perumahan, estet ladang kelapa sawit dan juga tanah perkuburan. Untuk penceritaan lebih lanjut, jom kita lihat video ini.
Berikut fakta fakta menarik pasal Jalan Penarikan ini:-
Di mana kah bermula laluan Jalan Penarikan ini?
Secara ringkas, dengan berpandukan peta Google Maps Jalan Penarikan di atas yang telah pun dilabelkan. Aku zoom in setiap laluan tersebut supaya korang semua faham dan dapat sesuaikan kawasan yang mana merupakan tempat yang korang pernah pergi atau mungkin juga kampung korang atau tempat korang bekerja tetapi korang tidak tahu bahawa itu lah pada zaman dulu kala ia merupakan tempat laluan paling sibuk di DUNIA. Bahkan terkenal ke peringkat antarabangsa pada kurun kurun tersebut.
Lokasi Jalan Penarikan tersebut kini sudah menjadi kawasan perumahan, estet ladang kelapa sawit dan juga tanah perkuburan. Untuk penceritaan lebih lanjut, jom kita lihat video ini.
Berikut fakta fakta menarik pasal Jalan Penarikan ini:-
- Pada kurun ke-14 hingga 15 Masihi dikatakan bala tentera Siam menggunakan Jalan Penarikan ini sebagai pangkalan barisan hadapan dan juga laluan logistik mereka dalam operasi menggempur kedudukan tentera Melaka. Bahkan hingga kini terdapat satu kubur yang dikatakan merupakan kubur komander tentera Siam tersebut bertanda 1265 Masihi. Selain itu terdapat juga kesan kesan penggalian terusan di lokasi Jalan Penarikan. Dipercayai ia dibuat oleh tentera tentera Siam sebagai satu alternatif untuk membawa bekalan logistik tentera mereka terus dari Sungai Serting tanpa perlu menarik kapal kapal tersebut atau memunggah keperluan logistik dari pelabuhan Sungai Serting ke pelabuhan Sungai Jempol. Namun dipercayai gagal disiapkan. Kedalaman penggalian terusan dianggarkan sekitar 20-30 kaki dalam.
- Percaya atau tidak, kesemua sungai sungai di Semenanjung Malaysia ini satu masa dahulu mempunyai kedalaman sekitar 30-40 kaki. Ini membolehkan kesemua jenis kapal dan perahu layar dapat belayar dan mudik hingga ke kawasan hulu. Sekarang semua itu sudah tiada lagi.
- Ketika aktiviti pengembangan dan penyebaran agama Islam giat dilakukan sekitar abad ke-14 dan 15, para pedagang dari Semenanjung Tanah Arab dan India seringkali cuba mengelakkan laluan berbahaya di sepanjang Selat Melaka khususnya apabila memasuki kawasan selatan Semenanjung Tanah Melayu kerana bimbang akan ancaman lanun yang hebat pada masa itu. Mereka mengadukan masalah ini kepada Kerajaan Islam Pasai yang berpusat di Sumatera. Atas nasihat orang Pasai, maka para pedagang dan pendakwah Arab dan India ini diperkenalkan dengan laluan ini. Ia juga merupakan salah satu sebab kenapa agama Islam begitu mudah dan cepat tersebar hingga ke hulu Semenanjung Tanah Melayu.
- Kisah Hang Tuah yang pergi berjumpa dengan Tun Teja dan membawa balik Tun Teja dari Pahang ke Melaka juga dikatakan menggunakan Jalan Penarikan ini.
- Semasa Portugis menyerang dan menakluk Melaka pada Ogos 1511, dikatakan Jalan Penarikan ini telah digunakan oleh Sultan Mahmud dan orang orang beliau untuk melarikan diri ke Pahang.
- Kebangkitan Mat Kilau menentang penjajahan British di Pahang mendapat sokongan bukan sahaja orang Melayu dalam negeri Pahang bahkan dari Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan. Dikatakan Jalan Penarikan ini lah kerap digunakan oleh Mat Kilau untuk mendapatkan bantuan dan sokongan dari Negeri Sembilan. Selain itu pejuang pejuang Melayu juga turut menggunakan Jalan Penarikan ini ke Pahang untuk membantu perjuangan Mat Kilau dan Dato' Bahaman menentang British.
- Selain menggunakan Jalan Penarikan ke Pantai Timur Semenanjung Tanah Melayu. Ia juga turut digunakan sebagai laluan air / sungai ke Perak melalui Sungai Pahang naik ke sebelah hulu iaitu di Kuala Lipis.
- Pada 1613 satu peta tentang Jalan Penarikan telah dibuat oleh seorang pengembara Portugis bernama Godinho de Eredia (walaupun ada mengatakan peta Jalan Penarikan ini dibuat pada tahun 1598). Dikatakan laluan ini mengambil masa selama 6 hari untuk sampai ke Pekan dari Muar melalui Sungai Muar - Sungai Jempol - Jalan Penarikan - Sungai Serting - Sungai Bera - Sungai Pahang.
- Jalan Penarikan pada zaman dulu boleh diibaratkan seperti KLIA pada masa kini.
- Jalan Penarikan ini mendapat namanya kerana aktiviti penarikan kapal,sampan, perahu, jong dan pelbagai muatan. Aktiviti menarik ini dilakukan oleh orang Asli dan orang kampung berdekatan. Upahnya pula cukup ringkas dan sesuai pada zaman itu iaitu garam, gula, beras, tembakau dan pelbagai barang keperluan harian. Tiada duit digunakan pada masa itu.
- Walaupun jarak Jalan Penarikan ini sekitar 600 meter sahaja namun ia juga bergantung kepada kapasiti saiz kapal dan muatan yang hendak ditarik. Sebuah perahu memakan masa kira kira 2 jam dengan kekuatan 14 orang untuk ditarik dari Sungai Jempol ke Sungai Serting. Bayangkan lah jika kapal layar bersaiz besar, jong atau lancang layar yang memang bersaiz besar sudah tentu sekurang kurangnya paling tidak setengah hari atau sehari semalam.
- Beberapa orang pengembara dan pegawai British seperti Charles Gray (1827) dan Daly (1865) pernah membuat catatan sejarah menyebut tentang tempoh masa diambil untuk menggunakan laluan Jalan Penarikan dan Sungai Muar serta Sungai Jempol. Charles Gray menyatakan bahawa dia mengambil masa selama 8 hari menggunakan laluan Sungai Jempol dan Sungai Muar ke Melaka dari kawasan Jalan Penarikan. Manakala, Daly pula menyatakan selama 10 hari masa diambil untuk menggunakan laluan tersebut.
- Apabila jalan darat seperti jalanraya dan landasan keretapi dibina oleh British di kawasan Johol, Serting, Jempol dan sewaktu dengannya pada hujung abad ke-19 Masihi terutama ketika memuncaknya era Revolusi Perindustrian yang melibatkan industri galian bijih timah dan getah. Maka sejak itu lah populariti Jalan Penarikan terus merudum dan tinggal terbiar tidak digunakan hingga ke hari ini. Menurut ahli kaji sejarah tempatan dan penduduk warga emas (yang berusia 70 tahun ke atas), sudah lebih 100 tahun Jalan Penarikan ini tidak digunakan. Kebanyakkan kawasan sungai di kawasan Jalan Penarikan kini sudah menjadi makin cetek dan tidak terurus. Dikatakan kedalaman sungai tersebut kini sudah tidak sampai 5 kaki sekali pun.
Yang pasti kini Jalan Penarikan yang satu masa dahulu gah sama seperti KLIA dan KLIA2 sekarang kini sudah pun tinggal menjadi satu sejarah dan mungkin ia sudah tidak dapat dikembalikan lagi zaman keemasannya kerana faktor perubahan zaman yang banyak menggunakan pengangkutan darat dan udara. Namun sebagai rakyat Malaysia, kita sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab terhadap khazanah ini. Jika dibiarkan kita bimbang satu masa nanti mungkin nama Jalan Penarikan ini kelak bakal dilupuskan daripada buku sejarah pula. Maka pihak pihak berwajib seperti PBT kawasan terbabit (dalam hal ini, pihak PBT daerah Jempol), pihak muzium negeri, pihak muzium negara, pihak arkib negara, sejarawan tempatan, ahli akademik, mahasiswa dan mahasiswi universiti dan kolej, badan bukan kerajaan, pencinta sejarah negara, kementerian terlibat dan ahli parlimen serta wakil rakyat yang mewakili kawasan DUN dan Parlimen tanpa mengira apa jua fahaman politik dan agama hendaklah bersama sama berganding bahu memulihara dan memelihara khazanah tersebut. Berdasarkan apa yang telah aku tonton dalam video tersebut dan pengalaman aku melalui dan mengembara di daerah Jempol beberapa tahun dulu. Memang kawasan tersebut sudah tidak terurus lagi, terbiar, tercemar dan tidak dipulihara dan tidak pula dipelihara dengan sewajarnya. Keadaan sungai yang makin cetek, hakisan tebing sungai, pembangunan tak terkawal dan pelbagai lagi telah merosakkan ekosistem dan khazanah serta sejarah Jalan Penarikan ini.
Jangan pula bila sudah hilang baru lah masa tu sedar nak kembalikan khazanah yang hilang.
Okay lah itu sahaja kisah penceritaan sejarah aku untuk entry kali ini.Next time Insya Allah aku nak share pasal topik SJCAM 4000. Hehe...
Wasalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan