Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Tajuk entry aku kali ini agak straight to the point. Malas lah nak berlapik lapik ni.
Tajuk entry aku kali ini agak straight to the point. Malas lah nak berlapik lapik ni.
Aku ingin bawa para pembaca dan pelayar blog semua tentang kisah pemanduan malam dan dinihari yang pernah aku lakukan beberapa tahun lepas. Lokasinya pelbagai jalanraya di seluruh semenanjung Malaysia ini. Cuma bagi entry ini kita mulakan dengan kisah pertama aku dulu ya.
Kisah 1:
Oktober 2010, aku masih ingat lagi. Pada masa itu, sudah 3 bulan lamanya aku menunggu jawapan daripada si dia. Ku hantar SMS tidak berbalas, ku telefon tidak berjawab dan pelbagai lagi aku berusaha untuk bertanya khabar dan berjumpa dengan dia. Apakan daya segalanya tidak berhasil. Jam sudah pun menunjukkan 8 malam. Aku masih berada di kawasan perumahan Puncak Alam, Kuala Selangor di Selangor. "Sampai hati Eija buat begini kat abang." bisik hati ku dengan penuh rasa kecewa. Ya, aku pernah beberapa kali membuat hati dan perasaan dia tersinggung. Aku minta maaf dan sekali lagi aku ulang di lain masa. Mungkin kah ini balasan akibat perbuatan aku? Jika benar, aku terima dan redha. Jika dia sudah pun mempunyai insan lain yang bertakhta di hati? Jika itu benar, aku tidak mampu dan tidak berdaya sama sekali untuk menghalang. Mama aku pernah berpesan jika orang perempuan tak mahu, jangan paksa dia terima. Dengan rasa lemah aku perlahan lahan cuba menerima hakikat itu. Jam sudah menunjukkan 9 malam, ya Allah betapa kuatnya lamunan aku hinggakan aku tak sedar azan Isyak sudah pun habis berkumandang. Lalu ku pergi ke sebuah surau di stesen pam minyak Petronas Puncak Alam untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang insan yang beragama Islam. Selesai solat aku berdoa kepada Ilahi agar dikuatkan diri ini untuk mengharungi pahit getir ujian ini. Perut mula berkeroncong dengan pelbagai macam irama petanda bahawa ia perlu diisi. Ya, kerana hal ini lah sejak daripada siang tadi setelah aku sampai dari Kuantan memandu bersendirian semata mata kerana dia, aku tidak berselera untuk menjamah makanan. Apa yang aku jamah ialah pada waktu pagi tadi sebelum bertolak ke Puncak Alam.
"Abang nak makan dan minum apa?" soal si pelayan kedai. "Saya nak Nasi Goreng Pataya dan air suam. Gelas besar ye." balas aku dengan perlahan. Mana tidaknya, fikiran aku masih lagi melayang kepada si dia. Aku tahu di mana dia duduk di Puncak Alam itu. Namun aku rasa tidak sopan untuk aku pergi ke rumah sewa dia semata mata kerana hal masalah kami berdua. Berkat didikan mama aku supaya menghormati hak dan perasaan kaum perempuan menyebabkan aku rasa serba salah sama ada mahu menurut kata hati atau melupakan sahaja. Eija, pada mata dan hati aku ialah seorang perempuan yang aku kagumi.Aku kagumi dia kerana begitu kuat dan tabah serta sabar jiwa dan perasaan dia berdepan dengan pelbagai macam ujian dan masalah baik disebabkan oleh sesama ahli keluarga dia mahupun daripada aku serta juga di kalangan rakan rakan dia. Pada bulan November 2009 lalu, Eija menerima satu ujian besar apabila ayah kesayangan dia telah pergi buat selama lamanya. Ayah dia meninggal di pangkuan dia dan abang dia semasa mereka berdua berusaha memberi CPR. Arwah ayah dia sempat juga dibawa ke hospital dan cuba sekali lagi diberikan bantuan kritikal namun segalanya sudah ditakdirkan bahawa yang pergi tetap pergi. Aku masih lagi ingat sehari kemudian, dia menghantar SMS kepada aku. "Abang, tolong call Eija :( " Itu lah permintaan dia untuk ku. Tanpa berlengah lagi walaupun pada masa yang sama aku sedang sibuk membantu persiapan kedua ibu bapa aku untuk urusan mereka menunaikan ibadah haji, aku terus capai telefon bimbit Nokia 2760 aku lalu menelefon dia. Aku boleh rasa betapa besar kesedihan yang melanda diri dia dan keluarga dia. Buat pertama kali dalam sejarah, seorang wanita menelefon aku dalam keadaan menangis teresak esak. Hati ku rasa amat hiba sekali. Sesungguhnya aku tidak pernah mengalami perasaan sedemikian rupa, tidak pernah sesekali dalam hidup aku berdepan dengan situasi sebegini. Aku berusaha sedaya upaya untuk menenangkan dia. Dalam hati terdetik jika aku berada dekat dengan dia sudah tentu aku sanggup bersama dengan dia dan keluarga dia. Namun apakan daya jarak pula menjadi faktor halangan kami. Dia di Pantai Dalam, KL dan aku pula di Seberang Takir, Kuala Terengganu.
Sekadar gambar hiasan. |
"Abang, oh abang ni order makanan yang abang order tadi." sapa si pelayan tadi. "Oh sorry adik, terima kasih ye." balas aku dengan ringkas dan sopan. Ya Allah, terlalu lama aku mengelamun mengingati semula kisah lama antara aku dan dia. Sebaik sahaja makanan terhidang di depan mata, apa lagi aku terus makan tetapi apa apa hal pun mulakan lah dengan ayat Bismillah dan doa makan. Setengah jam selepas makan, minum dan rehat sambil menonton TV. Aku pergi ke kaunter gerai untuk bayar makanan. Kemudian aku masuk ke dalam kereta aku. "Ahh...sudah jam 10.45 malam, sempat ke tidak ni nak sampai ke Kuantan?" soal hati ku tatkala melihat jam di dashboard kereta Viva ku. Ya ini lah pertama kali aku akan memandu pulang dari Puncak Alam ke Kuantan pada waktu malam..lewat malam. Aku tak berlengah lagi lalu aku terus menghidupkan enjin dan memandu pulang ke Kuantan. Melalui jalan raya di Puncak Alam memberikan aku satu pengalaman yang baru. Keadaan jalan yang tidak begitu rata dan kiri kanan jalan hanya lah dipenuhi dengan estet kelapa sawit serta tidak banyak kenderaan lain melalui jalan ini sedikit sebanyak telah menimbulkan rasa gusar dan bimbang dalam diri ini. Yang ada pada aku hanya lah pesanan orang tua ku dan ilmu ilmu agama yang pernah aku hadiri lalu ku baca surah al fatihah, ayat Qursi dan 3 Kul (Surah Al Ikhlas, Surah Al Alaq, dan Surah An Nas). Ku harap apa yang ku baca itu dengan izin dan berkat Allah S.W.T menjadi pendinding daripada anasir gangguan yang tidak mampu dilihat oleh mata kasar ini. Alhamdulillah, perjalanan dari Puncak Alam hingga lah ke Sungai Buloh agak lancar kecuali sekali sekala terpaksa mengekori lori lori yang dipandu agak perlahan dan tidak ada pula ruang yang cukup luas untuk memintas. Sampai sahaja di MRR2 bermula di Sungai Buloh aku terus memasuki lorong tengah dan menekan pedal minyak hingga meter kelajuan kereta Viva aku mencecah ke angka 110 km/j. Jam di dashboard sudah pun menunjukkan 11.30 malam. Dalam minda, aku mula mencongak jangkaan waktu sampai ke destinasi berdasarkan kelajuan kereta yang aku pandu dan jarak perjalanan yang masih berbaki. "ETA (Estimated Time of Arrival) lebih kurang jam 3.30 hingga 4 pagi." bisik hati ku setelah selesai mencongak jangkaan waktu sampai ke destinasi. Kelajuan masih kekal pada 110 km/j. Namun dalam hati aku bimbang juga andai menjadi salah seorang mangsa kamera perangkap laju yang dikatakan ada dipasang di sepanjang laluan MRR2 ini tetapi aku tidak endahkan semua itu asalkan aku sekurang kurangnya dapat sampai di Plaza Tol Gombak sebelum jam 12 am.
Sekadar gambar hiasan. |
" Ini baki dia encik. Selamat jalan." ucap si gadis manis juru tol itu. Lalu aku simpan baki duit ke dalam drawer coins dan kembali memandu seperti biasa. Jam di dashboard kini sudah menunjukkan 11.54 malam dan aku kini memasuki Lebuhraya Karak- KL menuju ke Plaza Tol Bentong selepas melepasi Plaza Tol Gombak tadi. Cuaca di luar amat lah sejuk. Ditambah pula dengan angin dan suhu udara kawasan bukit dan gunung di sekitar lebuh raya ini. Adalah menjadi tabiat aku apabila memandu waktu malam mesti membukan tingkap kereta sebelah pemandu sampai habis. Manakala tingkap di sebelah co-driver dan seat belakang dibuka suku atau separuh. Walaupun aku ada memakai sweater setelah masuk ke lebuh raya ini (sila jangan amalkan budaya pegang stereng sambil buat kerja lain ya!!) tetapi itu tidak memadai untuk menebat suhu sejuk ini. Jauh dalam sudut hati aku ucapkan selamat tinggal kepada Kuala Lumpur dan khususnya Puncak Alam di Kuala Selangor. Seolah olah menjadi satu perasaan agak berat hati tatkala melihat KLCC, UIAM Gombak dan Menara Kuala Lumpur dari jauh yang sedikit demi sedikit lenyap daripada pandangan dan berganti pula dengan pemandangan malam kawasan hutan tebal dan gunung ganang di tepi kiri dan kanan jalan. serta lampu lampu lebuh raya dan kenderaan yang lalu lalang menghala ke Kuantan mahupun ke KL. Ya lah, mana tidak nya kerana KL dan aku seolah olah mempunyai kenangan. Aku pernah ke KL sejak kecil lagi tetapi masa itu menziarahi sanak saudara sebelah mama aku yang menetap di Ampang. Selain daripada itu kerap kali datang ke KL bersama dengan rombongan sekolah baik mengikuti aktiviti persatuan mahupun rombongan jalan jalan selepas habis peperiksaan. Selepas tamat SPM dan mendapat keputusan SPM, aku juga dapat melanjutkan pelajaran aku ke Pusat Matrikulasi UIAM di Seksyen 17, Petaling Jaya (kini cuma dikenali sebagai Pusat Asasi UIAM dan bakal berpindah sepenuhnya ke Gambang di Kuantan, Pahang bermula tahun ini). Seterusnya sempat menghabiskan selama 2 tahun di UIAM Gombak sebelum berhenti belajar atas masalah peribadi. Kemudian aku kembali menyambung semula pelajaran aku dengan mengikuti kursus Diploma Radiografi di tempat kelahiran aku sendiri di Terengganu. Ku sangka kan aku tidak akan lagi kembali menjejakkan kaki ke KL tetapi ternyata meleset. Pada akhir 2008 dan tahun 2009 aku kembali ke KL untuk menjalani latihan praktikal di Hospital UKM di Cheras selama 3 bulan. Aku cuma fokus untuk menghabiskan masa dengan menjalani praktikal, menyiapkan tugasan penyelidikan,mengumpul data data klinikal, mendapatkan tandatangan penyelia bagi kes kes pemeriksaan X-ray yang aku telah buat, menjalani latihan praktikal lebih masa di hospital UKM dan sekali sekala menghabiskan masa berjalan jalan ke jalan TAR, SOGO, IOI Mall di Puchong, dan Mid Valley. Bosan kan bunyi nya ya??
Sedar tidak sedar aku kini sudah menghampiri stesen pam minyak di Bentong dan 2 kilometer lagi akan sampai ke Plaza Tol Bentong. Aku berhenti rehat seketika di stesen pam minyak di Bentong memandangkan ia mempunyai tempat rehat dan makan seperti kafe, surau, tandas lengkap dengan bilik mandi dan persalinan pakaian serta juga mini market. Mujur lah aku membawa sehelai tuala dan sehelai kain pelikat serta peralatan kebersihan diri seperti sabun, ubat gigi dan berus gigi. Menjadi tabiat aku jika berjalan jauh atau dekat, akan aku bawa perkara perkara sebegini dan ternyata ia banyak memberi manfaat untuk diri ini. Selain itu aku juga turut membawa peralatan bantuan kecemasan dan ubat ubatan sebagai persediaan menghadapi perkara tak terjangka. Terdapat ramai juga pengunjung yang datang berhenti di sini sama ada mengisi minyak kenderaan, mengisi angin tayar, berehat, menunaikan solat di surau dan makan. Aku terpaksa menunggu giliran mandi kerana terdapat beberapa orang yang menggunakan kemudahan bilik mandi. Jam sudah menunjukkan 1.10 pagi dan aku baru sahaja selesai mandi. Ahh..segar sungguh badan dan minda selepas mandi. Seolah olah masalah rasa kecewa tadi hilang seketika selepas mandi. Kemudian aku pergi ke surau mengambil wudhu' dan mendirikan solat sunat hajat. Aku memohon kepada Allah supaya diberikan kekuatan dalam diri ini menghadapi bukan sahaja ujian perhubungan ini tetapi juga lain lain ujian yang bakal datang menimpa kelak. Rasa agak tenang perasaan ini setelah meluahkan segala gala kepada Nya. Aku akhiri 'konsultasi' dengan membaca surah Yassin hingga habis. Sekali lagi , aku memandang pada jam di dashboard kereta setelah menghidupkan enjin sudah menunjukkan jam 1.50 pagi. Aku masih berkira kira sama ada untuk meneruskan perjalanan ini ke Kuantan atau pun tidur sahaja di sini. Cuaca di luar kian sejuk tatkala aku membuka tingkap cermin kereta sebelah pemandu dan co-driver. Aku memilih untuk meneruskan perjalanan ke Kuantan kerana esok aku kena masuk bekerja awal sedikit memandangkan rakan sekerja aku bercuti mulai esok selama seminggu.
30 minit berlalu dan aku kini menghampiri ke Plaza Tol LPT fasa 1 di Karak. Entah kenapa sejak aku melepasi Lentang di Karak, hidung aku masih lagi terbau bau yang agak busuk dan memualkan. Pelbagai macam cerita yang pernah aku dengar apabila melalui Lentang ini. Pontianak lah, bayangan manusia tidak berkepala, kemalangan misteri, pocong, kereta Volkswagen kuning tanpa pemandu (mungkin UGV kot haha..) serta pelbagai lagi macam cerita seram mistik yang bermain di minda aku ini. Aku tidak peduli semua itu sebab melalui lebuh raya Karak - KL waktu dinihari bukan lah pengalaman pertama aku kerana sebelum ini sudah biasa melalui kawasan ini dengan menaiki bas cuma untuk memandu bersendirian kali ini memang lah pengalaman pertama aku dan tidak pula aku bertemu dengan semua itu. Aku anggap ia sekadar tidak lebih daripada 'urban legend' sahaja dan cerita cerita mulut orang yang diturunkan daripada satu generasi ke satu generasi. Dalam hati aku masih tertanya bau apakah yang amat busuk dan memualkan ini. Ia lebih busuk berbanding bau getah atau hampas kelapa sawit yang sering dilepaskan oleh kilang kilang. Nak kata bau bangkai binatang pun tidak lah seteruk dan lama bau ini bertahan di dalam kereta aku. Mujur lah aku meletakkan 2 kotak Ambi Pur perfume pada aircond kereta aku. Maka sedikit demi sedikit bau busuk itu berkurangan cuma bau busuk itu masih ada lagi. Kini aku sudah melepasi simpang laluan Plaza Tol LPT di Lanchang dan bau busuk itu masih lagi ada di dalam kereta aku. Mata aku pula semakin kuyu dan kadang kali celik seketika tatkala ada hon daripada kereta,lori atau van yang memintas aku. Mungkin mereka perasan yang mata aku nampak mengantuk dan kereta yang aku pandu juga agak sedikit terhuyung hayang. "5 kilometer lagi..bereh boh" bisik hati aku apabila melihat papan tanda kawasan rehat dan rawat (R&R) Temerloh. Ya, aku perlu berhenti untuk berehat dan menyegarkan diri ini semula. Memandu di waktu dinihari bagi kali pertama bukan lah sesuatu yang menyeronokkan jika anda jenis sering tidur awal di rumah kerana memandu di waktu dinihari merupakan satu perkara di luar norma dan luar zon selesa bagi mereka yang pertama kali berbuat demikian. Lagipun kita sedia maklum seorang manusia bagi orang dewasa dan belia sekurang kurangnya mesti mempunyai waktu tidur selama 4-5 jam setiap hari. Aku pula telah melanggar norma tersebut dengan sepanjang hari ini langsung tidak berehat.
Sampai sahaja di R&R Temerloh, aku tidur terlebih dulu di dalam kereta. Namun bau busuk itu tetap masih lagi ada. Akan tetapi dek kerana terlalu mengantuk, aku terus terlelap dan tidur hingga lah aku terdengar bunyi hon yang amat kuat. Aku terjaga dan melihat jam pada telefon bimbit aku sudah menunjukkan jam 5 pagi. Agak menghairankan kerana bunyi hon itu amat kuat namun apabila aku pandang sekeliling luar dari kereta aku tidak kelihatan satu buah lori pun hatta kereta. Kecuali beberapa buah kereta dan lori yang memang sedia ada semasa aku sampai sebelum tidur tadi. "Ah..mungkin lori atau kereta yang sedang bergerak di highway tadi kot?" soal hati ku sendiri. Lalu ku capai tuala dan berus gigi yang telah ku picit dengan ubat gigi. Aku keluar dari kereta dalam keadaan mengantuk sambil ku gosok mata aku. Masuk sahaja ke tandas dan bilik mandi R&R Temerloh ini sudah ada beberapa orang sedang berbual. Aku lihat ada satu bilik mandi kosong lalu aku masuk ke dalam bilik itu untuk mandi dan bersihkan diri aku supaya rasa segar semula. Sambil aku mandi, aku terdengar orang yang berbual tadi sudah keluar dari tandas. Yang agak menimbulkan rasa aneh ialah bilik mandi sebelah aku dan setentang dengan bilik yang aku sedang mandi ini hanya kedengaran bunyi shower mandi sahaja. Tiada tuala atau pakaian tersidai kat pintu sebagai tanda ada orang di dalam. Aku fikir mungkin mereka takut jika menyidai di pintu bilik mandi akan ada orang dari luar yang mungkin nakal akan menarik tuala itu keluar. Aku biarkan perasaan dan pertanyaan itu berlalu begitu sahaja kerana aku mahu siapkan diri dengan cepat. Sebaik sahaja aku selesai mandi dan keluar dari bilik air. Aku terpandang bilik mandi sebelah aku dan terkejut seketika kerana apa yang aku lihat bilik mandi itu terbuka dan tiada tanda bilik itu digunakan serta lantai bilik mandi itu juga agak kering. Dengan segera aku terus pergi ke kereta aku untuk meletakkan pakaian yang kotor dan sabun serta berus gigi. Oleh kerana aku berasa agak seriau sedikit, aku bercadang untuk pergi ke kafe yang masih lagi dibuka. Terdapat beberapa orang pengunjung yang masih lagi berada di situ. Aku cuma memesan makanan untuk dibungkus dan secawan minuman kopi Radix yang panas serta sebotol air mineral Spritzer 500ml. Selesai membayar kesemua makanan dan minuman yang berjumlah RM7, aku terus masuk ke kereta dan bergerak menuju Kuantan. Sambil memandu itu seperti biasa aku membuka tingkap untuk mendapatkan udara segar. Ya, ia memang sangat segar al maklum lah jam masih lagi menunjukkan pukul 5.40 pagi dan aku rasa sudah masuk pun waktu Subuh namun dek kerana ini ialah lebuh raya LPT dan tiada lokasi masjid yang terdekat serta siaran radio pun agak sukar diperolehi sebaik sahaja melepasi simpang Plaza Tol Chenor. Niat nak minum sambil memandu juga agak sukar dek kerana air kopi Radix masih lagi panas dan aku cuma minum seteguk air mineral untuk menyegarkan dalaman badan ini. Tidak semena mena, bau busuk yang aku terbau malam tadi masih lagi ada cuma ia seperti beransur ansur hilang. Bila aku paling ke belakang, tiada apa pun di situ dan aku juga sedar yang bau busuk itu langsung tiada di tempat duduk belakang. Bila aku paling semula ke depan, bau tersebut makin lama makin berkurang dan tidak semena mena kereta yang aku pandu bergegar. "Ya Allah..!!" itu sahaja ayat yang aku mampu luahkan.
bersambung ke siri kedua....
bersambung ke siri kedua....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan